BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday 19 July 2011

Bendera & Lencana SKMT






Sejarah Awal SK Masjid Tanah

Sekolah ini berasal dari sebuah sekolah yang telah didirikan lebih kurang pada 1890 oleh tokoh tempatan masa itu yang bernama Bilal Lesai. Beliau adalah seorang ahli ibadah dan mahir dengan sejarah tempatan. Sekolah Sungai Baru ini telah didirikan di Jalan Durian Daun  di tepi jalan raya yang sekarang adalah tapak rumah Allahyarham Cikgu Zaunudin b. Md. DinMaklumat asal yang diperolehi, bangunan sekolah ini diperbuat daripada buluh sahaja.

Kemudian  sekolah ini berpindah ke sekolah yang dibina di pekan Masjid Tanah dan  bangunan sekolah ini telah menjadi bangunan MARA. Sekolah ini beratap genting, bertiang dan berdinding kayu.Di hadapan sekolah dipagari dengan pokok bunga raya. Keadaan sekolah ini tidak luas untuk menampung bilangan murid yang sentiasa bertambah. Akhirnya dibina pula sekolah yang ada sekarang ini. Sekolah yang ada sekarang ini  telah mula digunakan pada 21.04.1926. Bilangan murid pada masa itu lebih kurang 180 orang dengan 8 orang guru. Bilangan kelas hanya dari tahun 1 hingga tahun 5 . Guru Besar yang pertama pada masa itu ialah Allahyarham Cikgu Abdul
Samad b. Tahir . Pemilik asal tanah ialah Allahyarham Puan Chikmah bt. Saidin dan keluasan tanah ini iaitu1 ekar 1 rod 8 pol, kedudukan tanah ini di Lot MT 57.

Kemudiannya bangunan tambahan yang  mempunyai 5 bilik darjah telah dibina pada tahun 1952 dan  dikenali sebagai “sekolah rakyat”. Perbelanjaan bagi membina bangunan itu ialah sebanyak RM 6000.00. Wang ini diperolehi melalui hasil gotong – royong penduduk tempatan sebanyak 
RM 3000.00 dan baki RM 3000.00 lagi ialah bantuan daripada kerajaan. Pembinaan bangunan tambahan  diusahakan oleh bekas guru besar pada masa itu iaitu Tuan Hj. Baba b. Othman.

Seterusnya pada 17.11.1962 sebuah bangunan tambahan dua tingkat yang mengandungi 6 bilik darjah telah dibina dan dirasmikan oleh YAB Ketua Menteri  Encik Abdul Ghafar b. Baba. Guru besar ketika itu ialah Tuan Hj. Hassan b. Abdullah . Padang permainan sekolah pada Lot MT. 127 yang berkeluasan 1 ekar  2 rod 1 pol diperolehi pada 28.03.1966. Pemilik asal tanah ialah Puan Nyenah bt. Dobing. Padang ini telah digunakan untuk bersenam dan mula digunakan sebagai gelanggang olahraga tahunan sekolah tahun 1975. 



Pada tarikh 09.07.1984 bangunan lama telah dirobohkan kerana terlalau uzur dan digantikan dengan sebuah bangunan baru 3 tingkat. Bangunan baru telah mula digunakan pada 16.01.1985 dan perasmiannya telah dilakukan oleh bekas murid YBhg. Tan Sri Abdul Rahman b. Hj. Arshad yang ketika itu berjawatan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia. Sekolah ini menerima perubahan dari zaman sebelum Jepun, zaman penjajahan Jepun, pemerintahan  British hingga zaman kemerdekaan.


Nama sekolah ini berubah :

21.04.1926 - Sungai Baru Vernacular School
29.02.1948 - Masjid Tanah Vernacular School
           1957 - Sekolah Umum Masjid Tanah
           1962 - Sekolah Kebangsaan Masjid Tanah hingga sekarang